Acara lumba jalan kaki telah diperkenalkan pada tahun 1906 di Athens dalam sukan olimpik moden. Acara yang dianjurkan pada masa tersebut adalah acara 1500 meter jalan kaki. Manakala, semasa sukan olimpik di Los Angeles pada tahun 1932 telah diperkenalkan pelbagai jarak acara lumba jalan kaki iaitu sehingga jarak 50 kilometer jalan kaki (Carr, 1999).
Acara jalan kaki merupakan salah satu sukan yang paling selamat kerana risiko untuk mendapat kecederaan adalah sangat kurang (Meakin, 2003). Hal ini kerana impak yang dihasilkan pada seluruh tubuh badan semasa jalan kaki adalah kurang berbanding acara larian mahupun lompatan. Acara jalan kaki ini adalah aktiviti yang dicadangkan untuk menjaga kesihatan sepanjang hayat kerana ia mudah dan sesuai untuk semua peringkat umur (Carr, 1999). Jika acara jalan kaki dilakukan dengan tahap yang lebih tinggi dan lebih serius, individu tersebut boleh menyertai acara lumba jalan kaki yang memerlukan langkahan yang lebih laju dan konsisten.
Acara ini merupakan acara berjalan yang menggunakan teknik yang unik bagi menggelakkan atlet berlari dan melakukan taktik yang tidak dibenarkan. Menurut International Association of Athletics Federations (IAAF), jalan kaki diertikan sebagai pergerakan langkah yang berterusan agar langkah tersebut sentiasa mencecah bumi. Hal ini bermaksud tiada jejak yang tidak mencecah bumi berlaku yang boleh kelihatan oleh mata kasar. Tambahan pula, kaki yang berada di hadapan perlu sentiasa lurus iaitu tidak membengkokkan lutut dari mula mencecah bumi hingga keadaan pejalan benar-benar tegak (Peraturan 230, Seksyen VII). Sekiranya peraturan ini dilanggar, peserta akan diberi amaran (~) iaitu bagi kesalahan “terapung”. Selain itu, kaki belakang perlu lurus sebelum kaki sebelah melangkah ke hadapan. Kesalahan bagi peraturan ini adalah “bengkok lutut” dan peserta akan diberi amaran (>) bagi kesalahan ini. Gambar menunjukkan teknik yang betul untuk berjalan kaki mengikut standard IAAF.
Sepanjang sesuatu pertandingan, peserta hanya dibenarkan melakukan tiga kali kesalahan sahaja. Apabila kesalahan yang keempat dilakukan, peserta akan disingkirkan daripada pertandingan. Sepanjang pertandingan tersebut berlangsung, jumlah pengadil adalah sekurang-kurangnya enam orang jika pertandingan tersebut dilaksanakan dalam stadium. Seorang pengadil hanya boleh memberi satu amaran kepada seorang peserta kerana dikhuatiri akan berlakunya unsur sabotaj dan seumpamanya.
Untuk menjadi seorang atlet jalan kaki yang baik, pelbagai perkara perlu dititikberatkan agar tiada sebarang kesilapan berlaku yang boleh mengakibatkan kemudaratan kepada atlet itu sendiri. Sebagai langkah permulaan yang baik, latihan perlu dilakukan pada intensiti yang rendah dan intensiti tersebut akan ditingkatkan secara perlahan-lahan. Prinsip-prinsip latihan seperti ansur maju dan peningkatan beban perlu diberi perhatian dalam periodisasi latihan seseorang atlet.
Selain itu, faktor-faktor lain juga tidak boleh diketepikan untuk membolehkan kelangsungan latihan. antara faktor-faktor yang perlu diambilkira adalah cuaca, tempat latihan dan perkakasan seperti kasut, jam dan pakaian.
Berikut merupakan beberapa tips mudah untuk jalan kaki.<sila lihat video>
No comments:
Post a Comment